Whatsapp Image 2022 08 11 At 1.11.37 Pm.jpeg
Berita

Kebenaran solat Jumaat di 228 surau ditarik balik berkuatkuasa 19 Ogos

JASIN 11 Ogos – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan untuk menarik semula kebenaran solat Jumaat di 228 surau di negeri ini berkuatkuasa 19 Ogos.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, ia bagi memastikan kesemua anak kariah menunaikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing.

“Kita telah memutuskan dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa yang bersidang 27 Jun lalu dan diangkat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 3 Ogos bahawa semua surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat sebelum ini ditarik balik.

“Kebenaran menunaikan solat Jumaat di 228 surau tersebut ditamatkan pada 12 Ogos (esok) yang mana ia menjadi Jumaat terakhir untuk mereka solat di surau masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan Penamatan Kebenaran Mendirikan Jumaat Sementara Kerana COVID-19 Surau-Surau Negeri Melaka di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa justifikasi seperti ruang masjid yang masih mempunyai kekosongan dan mampu menampung kapasiti jemaah.

“Ini juga bagi mengimarah dan meninggikan syiar masjid serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan aktiviti masjid selari dengan rukhsah kembali kepada asal.

“Kita juga menerima beberapa permohonan surau untuk dijadikan lokasi solat Jumaat kekal, bagaimanapun perkara itu akan dinilai semula dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri,” katanya.

Abdul Halim berkata, terdapat dua surau melibatkan kariah Serkam Darat dan Kampung Gelam masih dibenarkan meneruskan solat jumaat seperti biasa berikutan kerja-kerja pembinaan serta membaik pulih masjid di kawasan tersebut sedang dijalankan.